Jumaat, 24 Oktober 2014

RESEPI SAMBAL HITAM PAHANG

SAMBAL HITAM PAHANG YANG SEDAP




Penyediaan sambal ini tersangatlah mudah malah bahan-bahannya juga tak banyak.
Sambal ini juga sebenarnya lebih kurang dengan sambal tumis biasa tapi yang membezakannya dan membuatkan ianya istimewa ialah bahan utamanya iaitu asam belimbing buluh. Tanpa bahan utama ini, masakan ini tak dapat di sediakan.

Sebelum saya terangkan tentang  bahan-bahan dan cara penyediaannya saya nak kongsi cara penyediaan asam belimbing buluh terlebih dahulu.


Resepi Penyediaan Sambal Hitam Pahang

Bahan-bahan:
Belimbing buluh (ikut banyak mana yang anda mahu)
Garam (agak-agak sahaja)

Cara-cara:
Cuci buah belimbing buluh sebersihnya
Masukkan ke dalam kuali (jangan gunakan kuali yang baru atau cantik kalau anda tak mahu ia nya rosak sebab buah belimbing mengandungi asid yang boleh menghakis kuali anda. Seeloknya guna kuali yang sudah buruk atau lama)

Tak perlu isi air sebab buah belimbing itu akan keluarkan airnya sendiri
Masukkan garam (terpulang pada anda)
Masak sehingga buah belimbing tadi betul-betul kering atau kecut dan bertukar menjadi warna kehitaman (bukan hangus)

*Asam ini bolehlah di simpan di dalam bekas dan boleh di gunakan untuk tempoh yang sangat lama.

Berikut pula cara-cara penyediaan Sambal Hitam Pahang.

Bahan-bahan:10biji cili padi (kalau suka pedas,boleh tambah lagi)
Segenggam ikan bilis
Beberapa ulas bawang besar
Beberapa sudu Asam belimbing buluh(bahan utama dan wajib ada)
Minyak
Garam secukup rasa
sedikit kunyit (tak isi pun tak mengapa)

Cara-cara penyediaan:

1)         Basuh dahulu semua bahan sebersihnya
2)         Rendam ikan bilis dalam air seketika (3-5minit)
3)         Tumbuk cili padi,bawang besar dan ikan bilis hingga      separa lumat
4)         Kemudian masukkan asam belimbing dan tumbuk lagi hingga bahan-bahan tersebut sebati
5)         Panaskan minyak dan masukkan sedikit kunyit.
6)         Masukkan bahan yang di tumbuk tadi ke dalam kuali
7)         Tumis hingga garing
8)         Masukkan garam secukup rasa
9)         Selesai

Mudah kan cara penyediaannya?
Tiada sukatan khusus untuk menyediakan hidangan ini sebab setiap orang berbeza citarasa.
Bagi yang suka pedas, anda boleh tambah lagi kuantiti cili begitu juga sebaliknya. Kuantiti mungkin berbeza mengikut saiz hidangan. Sambal Hitam Pahang ini sesuai untuk di jamu bersama nasi putih, roti mahupun di makan bersama lempeng.

Kalau musim perayaan, anda boleh makan bersama nasi impit, ketupat ataupun lemang.
Pendek kata semua boleh lah.

Kelebihan Sambal Hitam Pahang:
Tahan lama (boleh di simpan untuk beberapa hari)

P/s: Selamat mencuba ya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan